Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

Dec 13, 2017

Sempat atau Tak Sempat, Cuba Teka!


Salam.

Entri pendek ini diterbitkan pada hari rabu, 13 Disember 2017.
Jika kalian baca entri ini pada hari berkenaan,
semalamnya, hari selasa 12 Disember 2017,
aku buat keputusan nekad untuk sertai CKOM 2017.

Yang paling 'best' sekali ialah:
tarikh tutup CKOM 2017 ialah pada 15 Disember 2017.


Imej sekadar hiasan, tiada kena mengena dengan isi entri.



CKOM 2017 adalah singkatan kepada Cabaran Komik Online Malaysia 2017,
satu pertandingan melukis komik 10 mukasurat yang dianjurkan MatKomik.
MatKomik adalah sebuah portal dan platform kepada para pelukis amatur (dan professional) untuk berkongsi bakat melukis masing-masing.

CKOM dianjurkan MatKomik setiap tahun sedari tahun 2014.
Sejak dari tahun lepas lagi aku sudah berhasrat untuk sertai CKOM bagi tahun 2017 ini.
Aku sudah senaraikan beberapa jalan cerita sendiri,
dengan harapan salah satu cerita aku kena dengan tema yang akan diumumkan.

Namun, pada 15 Oktober yang lepas,
MatKomik sudah umumkan tema CKOM bagi tahun ini iaitu:
SUKAN (kecuali bola sepak)

Semua idea jalan cerita aku tidak masuk tema.
Malah, pada beberapa bulan lepas, dek kerana kesihatan yang kurang mengizinkan, juga motivasi melukis yang hilang disebabkan aku merajuk dengan beberapa insan di dalam industri komik Malaysia, aku langsung tak fikirkan tentang CKOM 2017.

Sampailah pada beberapa hari lepas,
di mana atas nasihat beberapa orang sahabat dan kenalan,
aku buat keputusan untuk sertai CKOM 2017 ini sedaya mungkin.

Keputusan bulat itu dibuat pada 12 Disember,
sedangkan tarikh tutup CKOM 2017 adalah pada 15 Disember.
Aku hanya ada kurang 3 hari untuk siapkan 10 mukasurat komik bertemakan SUKAN.

TIGA HARI!

Jadi,
disinilah entri pendek ini akan tamat.

Satu soalan yang aku nak tanyakan kalian:
Siapa rasa aku akan sempat siapkan penyertaan sebelum tarikh tutup sila komen #TeamSempatSiap.
Siapa rasa aku mustahil boleh siapkannya sebelum tarikh tutup sila komen #TeamTakSempatSiap.

Minggu depan aku beritahu sama ada aku sempat siapkan atau tidak.

Secara peribadi,
aku rasa aku sendiri berada dalam #TeamTakSempatSiap

HAHAHAHAHAHAHAHAAHA



Update 14 Disember 2017:
Disebabkan aku lama tinggal industri komik tempatan,
maka aku terlepas berita yang tarikh tutup dilanjutkan 5 hari
menjadikan tarikh yang sepatutnya 15 Disember menjadi 20 Disember.
But still...aku masih dalam #TeamTakSempatSiap





.




Dec 6, 2017

10 Fakta Kita Mungkin Tidak Tahu dan Tidak Perlu Tahu.



Salam.

Belakangan, aku perasan entri blog ini banyak bersifat berat.
Jadi kali ini aku bawakan satu entri yang sangat ringan.
SANGAT RINGAN sampaikan kalian tidak perlu berfikir,
hanya perlu baca dan nikmatinya.

10 FAKTA YANG KITA MUNGKIN TIDAK TAHU DAN TIDAK PERLU TAHU.



1. Pingu berasal dari Switzerland.

Walaupun set kartun tersebut berlatarbelakangkan benua Antartika (sebab semua penguin berasal dari hemisfera selatan), tapi kartun stop-motion Pingu yang selalu kita tonton masa kecil dulu berasal dari Switzerland, dan kemudian berpindah ke Britain. Adik Pingu bernama Pinga, dan kawan Pingu si anjing laut itu bernama Robby. Pingu selalu keluarkan bunyi trademark-nya "Noot! Noot!" walaupun secara rasminya dieja "Nug! Nug!"




2. Nama penuh Barbie ialah Barbara Millicent Roberts.

Anak patung perempuan kegemaran ramai, Barbie mempunyai nama penuh Barbara Millicent Roberts. Buah hati Barbie yang bernama Ken itu pula bernama Ken Carson. Semasa mula dikeluarkan, Barbie ada dua varian, berambut blonde dan berambut hitam.




3. Tarikh lahir SpongeBob SquarePants ialah 14 Julai 1986.

Ini membuatkan SpongeBob berumur 31 tahun ini (2017) dan sama umur dengan Zul Ariffin dan Kamal Adli. Kalau diletakkan Zul Ariffin, Kamal Adli dan SpongeBob sekali, mana satu pilihan korang?




4. Hello Kitty BUKAN seekor kucing.

Pada tahun 2014, Hello Kitty diisytihar oleh syarikatnya Sanrio sebagai BUKAN seekor kucing, tapi adalah seorang budak perempuan. Nama penuhnya ialah Kitty White, lahir di selatan England pada 1 November 1974. Hello Kitty berdarah A.




5. Mickey Mouse ada kawan baik merupakan seekor anjing, dan mempunyai binatang peliharaan JUGA seekor anjing.

Mickey Mouse adalah sejenis tikus. Mickey ada kawan baik bernama Goofy, yang merupakan sejenis anjing. Dalam masa sama, Mickey ada bela seekor haiwan peliharaan bernama Pluto, yang JUGA merupakan seekor anjing. Goofy boleh bercakap, tapi Pluto tidak.




6. Tom dan Jerry ada nama lain semasa mula diperkenalkan.

Nama penuh Tom ialah Thomas Cat dan nama penuh Jerry ialah Jerry Mouse. Pada masa mula diperkenalkan, Tom dan Jerry dari siri 'Tom and Jerry' ini mempunyai nama lain. Tom bernama Jasper, dan Jerry bernama Jinx.




7. Dora adalah sepupu kepada Diego.

Dora dari siri 'Dora The Explorer' adalah sepupu kepada Diego dari siri 'Go, Diego, Go!'. Walaupun kedua-dua siri bertemakan pembelajaran kanak-kanak, tapi Dora lebih ke arah pengembaraan manakala Diego lebih ke arah alam sekitar dan haiwan. Filem aksi sebenar Dora bakal muncul 2019.




8. Popeye makan bayam dan jadi kuat.

Popeye makan bayam untuk jadi kuat. Itu fakta yang semua orang tahu. Tapi kenapa bayam? Ceritanya, pada satu masa dahulu, seorang ahli kimia tersilap dengan menyatakan sayur bayam mempunyai 35 miligram zat besi dalam setiap 100 gram hidangan, menjadikan mitos 'makan bayam boleh jadi kuat' bertebaran selama hampir 70 tahun (1870-1937). Sebenarnya ahli kimia itu tertinggal titik perpuluhan 35 miligram, sepatutnya hanya 3.5 miligram. Namun, kesilapan ini menyebabkan peratusan kanak-kanak suka makan sayur meningkat mendadak pada era kegemilangan kartun Popeye.




9. Winnie The Pooh tidak dipanggil Winnie.

Winnie the Pooh adalah seekor beruang yang suka makan madu. Walaupun bernama Winnie (nama perempuan), tapi Winnie the Pooh adalah seekor beruang jantan. Tapi dalam siri Winnie the Pooh, beruang watak utama ini selalu dipanggil Pooh Bear, atau sekadar Pooh, bukannya Winnie.




10. Pikachu sepatutnya lebih ke arah arnab berbanding tikus.

Dalam siri Pokemon, Pikachu diperkenalkan sebagai 'Mouse Pokemon' walaupun sebenarnya Pikachu dicipta berdasarkan rupa sejenis haiwan dipanggil Pika, sejenis mamalia berkaki pendek berbadan bulat yang secara taksonominya lebih rapat dengan arnab berbanding tikus. Pikachu yang gemuk semasa mula diperkenalkan dulu lebih menyerupai pika berbanding Pikachu 'slim' sekarang.




Itu dia, fakta ringan untuk entri kali ini.
Walaupun aku kata 10 fakta, tapi kalau kalian baca sampai habis,
kalian sudah dapat lebih kurang 41 fakta yang berbeza.

Dapat beza tak mana 41 fakta tersebut?

Terima kasih kerana membaca.

Pemberitahuan: Semua imej adalah hakmilik penciptanya.





.




Nov 29, 2017

Doktor Narsisistik dan Lelaki Yang Berhabis RM30 Untuk Rasa Tertipu.



Salam.

[Penafian: Disebabkan ini blog peribadi, maka semua tulisan di dalam entri ini bersifat peribadi dan tidak mewakili pendapat majoriti mana-mana pihak. Segala akibat dari tulisan ini akan ditanggung cEro secara keseluruhan. Tiada sengketa antara mana-mana pihak, hanya kritikan yang mungkin bersifat peribadi namun membina.]

Kalau kalian baca entri aku minggu lepas,
satu entri aku hanya bercerita tentang kejayaan aku habiskan baca satu buku.
Bagi orang lain mungkin itu perkara biasa,
tapi bagi aku, itu perkara luar biasa.
Itu perkara yang sangat aku banggakan.
Sebab aku bukannya pembaca yang setia.
Buku bahasa inggeris pula tu.

Disebabkan aku sudah habis baca buku itu,
maka beg yang selalu aku bawa berisi buku untuk dibaca itu menjadi ringan.
Bila bertahun-tahun sudah biasa berbeg berat,
tiba-tiba pula sekarang jadi ringan,
maka badan aku sedikit rasa janggal.

Jadi aku buat keputusan untuk MULA baca satu lagi buku.
Dari puluhan (mungkin ratusan) buku yang menanti untuk dibaca di rak buku aku,
aku pilih buku ini:

DIAgnosis2
[Angka dua bersifat superskrip, maka aku panggil DIAgnosis(kuasa dua)]



Buku ini mempunyai 358 muka surat bercetak.
Merupakan himpunan cerita hasil tulisan 7 doktor.



KENAPA PILIH BUKU INI UNTUK MENJADI PEMBERAT BEG?

Aku beli buku ini sebab aku sudah baca buku DIAgnosis yang pertama.
Di kulit buku ini terpampang tulisan mengatakan (rujuk imej di atas) buku ini adalah
'sequel to bestseller book of 2014 (5 stars) PBAKL MPH KINOKUNIYA'
yang pada aku merujuk kepada buku DIAgnosis yang pertama.

Untuk buku DIAgnosis yang pertama,
walaupun aku agak kecewa bila tahu semua cerita dalam buku itu adalah rekaan,
tapi disebabkan isinya bersifat teknikal dan penuh dengan jargon (bahasa khusus dalam sesuatu bidang), maka aku rasa sedikit sebanyak ceritanya ada kaitan dengan pengalaman penulis sendiri.
Mana mungkin orang bukan ahli dapat tahu perkara yang begitu spesifik dan teknikal, kan?

Idea mengumpulkan doktor sebenar dan menghimpunkan hasil tulisan mereka,
pada aku, satu idea yang bernas.
Bukan sahaja cerita-cerita yang disampaikan menjadi pendek dan mudah dibaca,
tapi kita sebagai orang biasa juga berkesempatan merasai pengalaman menjadi seorang pengamal perubatan melalui pembacaan.
(Walaupun ada satu dua tiga kelemahan sana sini)

Sebab itu buku DIAgnosis yang pertama, pada aku, berjaya.

Bertitik tolak daripada kejayaan buku pertama itulah,
aku tergerak beli buku DIAgnosis(kuasa dua) ini.

Tapi, yang ikut twitter aku akan tahu,
aku pernah merungut tentang harga buku ini.
DIAgnosis pertama hanya berharga RM20
manakala buku DIAgnosis(kuasa dua) ini berharga RM30.
Bab duit, aku memang berkira. Hahaha
Tapi sebab jangkaan aku buku ini tidak akan menghampakan,
jadi aku relakan jiwa.



MULA BACA

Disebabkan sekarang musim hujan dan aku seorang penunggang motosikal,
maka banyak masa aku dipenuhi dengan aktiviti menunggu hujan reda.
Maka, aku ada banyak masa untuk mula baca buku ini.

Buku ini dibahagi mengikut turutan penulis (doktor).
Habis cerita daripada seorang penulis, maka disambung dengan penulis yang lain.

Bila aku mula baca hasil tulisan penulis pertama,
aku sudah dapat gambaran bahawa buku ini tidak seperti DIAgnosis yang pertama.
Dalam buku pertama, semua cerita adalah berkisar sekitar kehidupan doktor (atau pelajar perubatan) dan bagaimana karenah para pesakit menjadikan mereka lebih merendah diri dan bersyukur.
Cerita dari buku pertama sarat dengan pengajaran,
membuat sesiapa yang membaca akan berfikir.

Namun tiada yang 'rendah diri'nya dalam cerita awal buku DIAgnosis ini.
Gaya bahasa penulis pertama sangat dramatik.
Setiap ayat diakhiri dengan bunyi ritma yang sama.
Kalau habisnya -a, maka ayat seterusnya juga dihabiskan dengan -a.
Penulis gigih nak sedapkan ayat sehingga lupa yang dia sedang menulis cerita, bukannya menulis lirik lagu.

Kalau perlu diletakkan perumpamaan, aku rasa (secara peribadi),
penulis adalah seorang narsistik yang sangat bangga dengan diri sendiri.
Dia seseorang yang suka selfie,
tapi bila nampak orang lain selfie, dia akan buat muka cringe. (contoh)

Salah satu cerita yang ditulisnya, walaupun masih berkisar dalam bidang perubatan
tapi lebih kepada cerita cinta bagaimana uda dan dara bertemu.
Ala-ala sweet love story drama melayu senja gitu.

Watak utama lelaki disifatkannya sebagai bijak, kacak, sasa, alim dan hebat ilmu dunia dan agamanya, dan aku quote;
'Suara jantannya bisa buat hati jadi layu. Itu hanya ketika menjadi imam solat jemaah Subuh, Maghrib dan Isya', habis luluh dan jika hati itu sifatnya cecair pasti sudah lama tersejat ke udara'.

Watak utama lelaki ini juga digelar James Bond dan Superman dalam ceritanya.
Kebetulan (atau tidak), huruf awal nama watak lelaki itu sama dengan huruf awal nama penulis.
Lagi kebetulan, watak utama perempuannya pula, huruf awalnya JUGA sama dengan huruf awal nama (pada ketika cerita ditulis) bakal isteri si penulis, yang juga salah seorang daripada penulis buku ini.
Best kan kebetulan dia?
Puji watak dalam cerita, rupanya...

Lebih dari dua kali penulis memberitahu di dalam buku ini yang dia bakal menjadi suami kepada bakal isterinya.
Walaupun kami (para pembaca) tahu awak teruja mahu menjadi suami,
but you have no right to rub your 'excitement' onto your readers' face.
Keep it to your pant la bruh.

Dan dengan hanya itu,
hanya dengan membaca cerita dari penulis pertama,
aku sudah rasa menyesal keluarkan RM30 untuk membeli buku ini.



SIAPA EDITOR?

Untuk buku yang dijual RM30, pada aku,
paling kurang jagalah tatabahasa, paling tidak tiada kesalahan ejaan.

Aku baru baca hasil tulisan seorang penulis,
aku sudah jumpa berlambak ejaan salah, tatabahasa salah dan sebagainya.
Dan pada satu ketika, aku rasa, penulis menulis secara semberono, mungkin sekadar mahu habiskan bahagian.
Penuh kesalahan ejaan dan tatabahasa.
Dan kesalahan tatabahasanya langsung tak konsisten.

Contoh;
penulis menulis perkataan 'di kala' sebagai 'dikala'
(perhatikan ruang antara 'di' dan 'kala')
Kalau penulis tidak tahu peraturan tatabahasa, dia akan terus tulis 'dikala' untuk keseluruhan ceritanya.
Tapi penulis kadang-kadang menggunakan 'di kala', kadang-kadang menggunakan 'dikala'.
Langsung suka hati langgar peraturan tatabahasa yang ada.
Sekali silap boleh dimaafkan,
tapi berkali-kali silap, sakit mata aku baca.

Jadi, aku selak muka awal, mencari jawapan kepada satu soalan;
SIAPA EDITOR?

Jawapannya, editor adalah dia sendiri, penulis pertama tadi.
Si Doktor Narsisistik tadi.
Lagi best, dia juga merupakan salah seorang proof-reader.
Patutlah banyak silap sana sini.
Mana boleh edit dan proof-read hasil tulisan sendiri.
Nanti persepsi penuh dengan bias.
Dan juga dari prakata, aku dapat rasakan dia juga merupakan orang besar dalam syarikat penerbitan buku ini, mungkin share-partner, or owner, or whatever.

Kau tulis, kau edit, kau proof-read.
Kau juga beri prakata, kau juga tentukan harga.
Dalam bahasa budak asrama aku dulu, ini dipanggil GIPANG.
Siapa tahu gipang itu apa, sila angkat tangan.



EH? PENERBIT LAIN?

Diingatkan balik, aku rasa buku DIAgnosis yang pertama lebih kecil.
Dan nipis.
Jadi bila balik ke rumah, aku selongkar almari buku aku,
mencari buku DIAgnosis yang pertama.

Ya, nipis.
142 muka surat bercetak berbanding DIAgnosis(kuasa dua) dengan 358 muka.
Sebab itulah (kot) buku ini dijual RM30 berbanding DIAgnosis pertama yang hanya RM20.
Ya, buku makin besar dan tebal,
tapi itu sebab font yang digunakan semakin besar
dan spacing antara barisan bertambah.
Jadi, secara peribadi aku rasa, DIAgnosis(kuasa dua) ini mahu mengambil kesempatan ke atas kejayaan DIAgnosis yang pertama.
Pulun selagi boleh. Pulun.

Tiba-tiba aku perasan sesuatu.
Nama syarikat yang terbitkan kedua-dua buku ini berbeza.
Tapi buku kedua ini claim yang buku dia sequel kepada buku pertama.
Bolehkah sequel diterbitkan di bawah syarikat berbeza?

Jelas dinyatakan dalam buku ini bahawa hakcipta berada di tangan penulis,
maka semua cerita adalah milik mutlak penulis, bukan penerbit.
Tapi tajuk buku, the brand name 'DIAgnosis' rasanya masih jatuh ke tangan penerbit.
(correct me if I'm wrong)
Jadi, bolehkah syarikat kedua ini guna brand name itu?
Malah claim kata bukunya adalah sequel kepada buku pertama yang laku keras itu?

Aku amat berharap ada yang boleh perjelaskan kekeliruan aku ini.



KE KEDAI BUKU KE KITA

Lagi menambahkan kekeliruan pembaca yang lambat dan tak setia seperti aku,
satu hari ketika aku berjalan ke kedai buku,
aku ternampak buku DIAgnosis 2.
Bukan buku DIAgnosis(kuasa dua) yang sedang aku baca ini,
tapi buku bertajuk DIAgnosis2 : Prognosis.


Buku ini bawah terbitan penerbit buku yang sama dengan buku DIAgnosis pertama.
Buku ini juga claim sebagai sequel kepada buku DIAgnosis pertama itu.

Jadi,
dari satu buku yang jadi bestseller,
terterbit dua cabang buku dengan brand name yang sama, juga dua-dua claim sebagai sequel.
Bayangkan filem Captain America ada dua sequel berbeza;
satu Captain America sertai Avengers,
satu lagi Captain America puji diri sendiri kacak tampan dan suara sedap mengaji.
Bukankah pening para penonton nanti?

My head hurts.

Entah kenapa, aku rasa tertipu.
Aku beli buku DIAgnosis(kuasa dua) ini dengan harapan buku ini, kalau tidak lebih bagus pun akan setaraf dengan 'prequel'nya.
Tapi setakat entri ini ditaip,
aku sudah baca hasil tulisan dua penulis di dalam buku itu.
Doktor Narsisistik dan seorang lagi penulis kedua.
Terima kasih kepada penulis selepas Doktor Narsisistik itu,
aku kembali teruja untuk terus membaca dan berhajat untuk habiskan buku ini.
Sebelum ini, semasa aku sedang baca bahagian Doktor Narsisistik itu,
kepala aku ligat berfikir 'bilalah nak habis bahagian dia ni' berkali-kali.



KESIMPULAN

Daripada entri ini, kalau kalian baca,
mesti kalian dapat rasa yang aku macam ada isu peribadi dengan si doktor itu, kan?

Jujurnya,
dia tak tahu pun aku wujud.
Aku pun tak tahu muka dia macam mana.
Jadi aku boleh jamin isunya bukan perhubungan sesama manusia.
Tapi yang aku yakin, satu; ini isu peribadi.

Pada aku, seseorang telah buat aku belanjakan RM30 untuk rasa tertipu,
dan itu sudah boleh dilabel sebagai isu peribadi.
Aku macam tak ada orang nak disalahkan selain doktor itu sebab
dialah penulis,
dialah editor,
dialah proof-reader,
dialah segalanya.
Buku itu buku dia.

Buku ini terbit tahun 2015. Sekarang hujung tahun 2017.
Jadi isu hakcipta jenama 'DIAgnosis' mungkin sudah basi dan pernah dibincangkan.
Tapi aku sangat nak tahu apa cerita sebenarnya.
Bolehkah jenama dan 'brand name' digunakan sewenang-wenangnya?

Kalau suatu hari nanti jenama 'cerolian' menjadi terkenal, adakah tidak mengapa jika ada manusia yang menggunakan nama itu untuk kepentingan narsisistiknya?


UPDATE:
Disebabkan kadar bacaan aku berkadar terus dengan taburan hujan,
dan hujan turut dengan kerapnya belakangan ini,
jadi 3 hari selepas aku taip post di atas, aku sudah lepas baca separuh buku.
Aku juga sudah baca bahagian penulis yang juga merupakan (pada ketika buku itu ditulis, bakal) isteri kepada Doktor Narsisistik itu,
dan aku dapat rumuskan mereka berdua ini sama sahaja.
Aku tahu dia seorang blogger, tapi janganlah tulis macam gaya blogger dalam buku itu.
Aku pun tulis gaya blogger.
Tapi aku tulis gaya blogger untuk blog aku yang boleh dibaca percuma.
Dia pula tulis gaya blogger untuk buku yang dijual RM30.
Patut ke tidak patut?
Jagalah sikit bahasa, sebab bila sudah terbit buku, yang baca bukan kawan-kawan sebaya sahaja.
Siapalah agaknya editor buku ni...OH? Lupa...
Editor dia laki dia sendiri, so....TAKPE!


Nota kaki:
Terima kasih kepada yang baca entri ini sampai habis. Aku sangat tak puas hati dengan penulisan buku ini dan satu-satunya tempat untuk aku luahkan adalah di dalam blog ini sebab orang sekeliling aku tidak tahu aku baca buku. Aku tak jangka kalian akan baca habis entri panjang berjela ini, tapi kalau ada yang baca, terima kasih. Seikhlas-ikhlas hati aku berterima kasih.





.




Nov 22, 2017

Pembaca yang Tidak Setia.



Salam.

Kalau kalian cukup lama baca blog ini,
kalian tahu yang aku bukanlah pembaca buku yang setia.
Banyak sudah entri di dalam blog ini beritahu tak gemarnya aku membaca buku.
Entri ini salah satu daripadanya.
Jangan salah anggap, aku suka membaca.
Cuma kebanyakan material yang aku baca bukanlah buku.

Di dunia luar aku dikenali sebagai orang yang tidak suka membaca.
Manusia keliling aku akan terkejut kalau nampak aku dengan buku,
walaupun hanya aku memegang buku untuk dijadikan kipas ketika panas.

Aku macam tidak kisah sangat orang label aku macam tu.
Bahkan aku rasa baguslah, supaya orang tidak salah anggap.
Orang selalu anggap orang rajin membaca ini pandai.
Satu bahagian memang tepat, tapi semua itu bergantung kepada material bacaan kita itu.
Kadang-kadang belakang kotak penyembur serangga lebih banyak ilmu daripada novel cinta 400 muka surat.

Untuk dijadikan topik utama entri ini,
pada 15 November 2017 lepas, aku berjaya habiskan sebuah buku setebal 296 muka surat.
Kenapa kejayaan menghabiskan buku ini merupakan satu kebanggaan aku?
Sebab aku mula baca buku ini pada 14 Disember 2015
menjadikan sesi bacaan satu buku ini sebulan kurang sebelum mencapai 2 tahun durasi.

Ya,
2 tahun baru habis satu buku.
Macam yang aku cakap, aku bukanlah pembaca yang setia.
Tapi kalau bercinta, aku jamin kesetiaan aku #ewah




Buku itu bertajuk The 7 Laws of Magical Thinking tulisan Matthew Hutson.
Ada banyak kali aku sebut dalam beberapa entri blog ini:

Tapi aku tak akan tulis review tentang buku itu di sini.
At least bukan dalam entri ini.
Kalau perlu, aku akan tulis dalam entri lain.
Itupun kalau kalian nak bacalah...



KENAPA SAMPAI DUA TAHUN?


Dua tahun memang satu jangka masa lama untuk habiskan satu buku.
Tapi kenapa dua tahun?
Adakah sebab buku itu tidak menarik?
Atau ada perkara berlaku dalam tempoh dua tahun tersebut?

Buku itu aku beli semasa satu jualan Big Bad Wolf hujung tahun 2015.
Aku beli atas dasar terpengaruh apabila disebut oleh seorang YouTuber kegemaran aku dalam salah satu videonya.
Aku mula baca buku tersebut serta merta selepas aku beli.

Buku ini buku non-fiction, bukan cerita rekaan.
Buku ini adalah gabungan fakta dan pemerhatian penulis tentang topik berkenaan tajuknya, iaitu 'magical thinking', jadi buku ini penuh dengan cerita benar pendek yang menjurus kepada pemikiran luar logik.

Disebabkan buku ini bukan buku cerita,
jadi aku boleh berhenti bila habis satu bab.
Malah aku selalu berhenti bila hanya habis satu sub-bab,
dan tempoh antara aku berhenti dan sambung baca balik agak jauh.
Sebab itulah ambil masa dua tahun.

Disebabkan buku ini bukan buku cerita,
maka aku boleh berhenti dan sambung baca bila-bila masa aku nak
tanpa perlu ingat isi sebelumnya.
Kalau buku cerita, atau novel,
kalau lama sangat kita tinggalkan buku itu selepas berhenti
kita mungkin akan lupa jalan cerita sebelumnya.

Dengan buku non-fiction, masalah itu tiada. Yaay!



BACA SIKIT-SIKIT


Seperti yang aku beritahu awal tadi,
aku dilabel sebagai 'bukan pembaca buku' di kalangan orang sekeliling aku.
Aku juga sedikit sebanyak mahu kekalkan label itu.
Jadi, aku tidak akan baca buku di khalayak ramai.

Disebabkan hampir majoriti masa aku akan ada orang di sekeliling,
jadi aku tiada masa sesuai untuk membaca buku ini.
Bila ada masa, sebagai contoh sedang menunggu hujan reda di tempat berteduh,
barulah aku selak buku ini dan baca.
Itu pun tidak baca banyak mana pun.
Baca sikit-sikit sahaja.

Sebab itulah nak habiskan buku ini ambil masa dua tahun.
Aku rasa, bagi pembaca yang setia,
buku setebal 296 muka mungkin boleh dihabiskan hanya dua tiga hari.

For me, reading is not a race.
Bukannya berapa banyak buku kita baca sebulan.
Bukannya berapa laju kita baca sesuatu buku.
Pada aku,
ambillah masa sebanyak manapun, asalkan setiap sesi itu ada isinya.
Ada sesuatu kita dapat daripadanya.
Lagipun, bukankah buku adalah sumber utama ilmu?



JANGAN BUANG MASA


Aku ambil masa lama untuk habiskan buku ini bukan sebab isinya tidak menarik.
Malah sebaliknya.
Isinya begitu menarik sehinggakan aku perlu hadam setiap bab sepenuhnya.
Aku tidak mahu terlepas satu pun isinya.
Isi seperti inilah yang menarik minat aku.
Yang (pada aku) seronok untuk dibuat bahan bual.

Sebagai orang yang memilih bahan bacaan,
aku dapati adalah susah untuk dapat buku yang betul-betul menarik minat aku.

Pernah sekali aku dapat buku percuma semasa pembelian barangan.
Dengan niat aku mahu habiskan baca buku itu,
tapi disebabkan isinya tidak secocok dengan aku,
jadi aku tidak dapat teruskan.
Aku habiskan baca separuh jalan sahaja.
Bukan buku itu tidak menarik, cuma isinya tidak kena dengan aku.

Seseorang pernah berpesan kepada aku:
Kita tiada kewajiban untuk menghabiskan sesebuah buku yang dibaca.
Kalau rasa tidak mampu, berhentilah.
Berhenti dan pergi ke buku seterusnya.
Tidak perlu habiskan masa untuk buku yang tidak digemari.



KESIMPULAN


Buku adalah antara sumber ilmu utama.
Daripada membacalah kita dapat menyelami pemikiran orang yang menulis.
Sebagaimana kalian baca blog aku ini,
sebahagian daripada pemikiran aku dapat disampaikan kepada kalian.

Walaupun aku bukanlah pembaca buku yang setia,
aku tidak pernah menidakkan kepentingan membaca buku.
Baguslah jika kalian seorang pembaca buku yang tegar.
Tapi jika bukan, apa salahnya mula berjinak-jinak dengan hobi bermanfaat ini.
Mulakan dengan buku yang ringan dan seronok dibaca.
Mungkin majalah, komik, surat khabar ataupun risalah.
Kemudian cabar diri untuk bahan bacaan yang lebih serius.
Kelak, mungkin hasil daripada bacaan kita itu boleh mengubah dunia.
Siapa tahu, kan?




Jadi,
kalian ada buku menarik yang rasanya sesuai untuk aku baca?
Apa buku paling menarik pernah kalian baca?
Cuba rekomen sikit di bahagian komen.

Just in case kalau kalian ada akaun Goodreads,
add laa aku sebagai friend di sini.
Boleh kita saling skodeng apa buku yang sedang dan sudah kalian baca.

Sekian.





.




Nov 15, 2017

10 Perbuatan Pengguna Jalan Raya yang Kedengaran Seperti Satu Idea yang Bagus Kepada Sang Pelaku tapi Sebenarnya TIDAK.



Salam.




Seorang detektif terkemuka pernah berkata;
"Kalau nak kenali perangai sebenar seseorang,
beri dia minum kopi panas."
Kata dia, orang yang berperangai kurang sabar akan tunjuk perangai sebenar dia di saat air kopi panas tadi menyentuh bibir.

Aku bukan detektif terkemuka,
tapi aku juga ada tips nak kenal perangai sebenar seseorang.
Cara aku;
"Lihat cara dia memandu."

Aku pernah naik teksi yang pemandunya berjanggut lebat dan berkopiah.
Cakapnya lembut dan penuh tawadduk,
mukanya nampak seperti seorang yang sangat tenang dan sabar.
Tapi bila atas jalan raya, mencelah sana sini serupa pelesit.

Aku juga pernah menjadi penumpang kepada seorang pemandu perempuan.
Tapi bila di atas jalan raya yang sesak,
segala jenis kata kesat dari pelbagai level dan bahasa keluar dari mulut dia.
Mulut yang sama cium anak kecil dia setiap pagi.

Setakat ini, tips aku ini amat berkesan.
Nak tahu kenapa?
Sebab di atas jalan raya, kita akan temui dengan pelbagai perkara di luar jangkaan dan tak terduga.
Pada sesetengah pengguna jalan raya,
perkara yang dilakukan mereka mungkin satu idea yang bernas,
tapi pada hakikatnya adalah sebaliknya.
Perbuatan 'luar jangkaan' mereka mungkin membawa bahaya bukan sahaja ke atas diri mereka sendiri malah pengguna jalan raya yang lain.

Maka,
berikut adalah senarai 10 perbuatan pengguna jalan raya yang (pada aku) mungkin kedengaran satu idea yang bagus tapi sebenarnya hanya mengundang makian:


1. Pengguna jalan raya yang tiada pendirian; sekejap ke kiri sekejap ke kanan.

Semasa di dalam kesesakan, mungkin adalah idea yang bagus kalau kita dapat berada di lorong yang bergerak. Tapi bila lorong kanan bergerak, dia nak masuk ke kanan. Bila lorong kiri bergerak pula dia nak masuk ke kiri. Kesesakan itu jadi lebih teruk bila wujudnya manusia yang tiada pendirian ini, asyik nak tukar lorong sahaja.



2. Penunggang yang tidak pakai topi keledar, tapi pakai 'cap'.

Banyak berlaku di sekitar kawasan perumahan. Tidak pakai topi keledar tapi pakai cap. Nak kata jaga rambut takut rosak bila pakai topi keledar, dia pakai cap. Tahu tak bila tunggang motosikal hanya 60km/j sahaja boleh membuatkan topi kesayangan itu melayang ditiup angin? Lagi 'kelakar', topi keledar yang sepatutnya dipakai, diletak di bakul. Bila nampak polis di hadapan, menggelupur nak tukar cap dengan topi keledar.



3. Pemandu yang memecut laju semasa cuaca hujan.

Penat aku perah otak, tapi aku langsung tak dapat nak teka apa tujuan pemandu yang memecut laju semasa cuaca hujan. Bukan sahaja membahayakan diri sendiri, malah kalau berlaku sesuatu, akan melibatkan orang lain. Kalau nak kejar angkat kain jemuran di rumah sekalipun, hujan sudahpun turun. Kain baju yang tersidai semua sudahpun basah. Tak ada keperluan pun memecut.



4. Motosikal ditunggang songsang di jalan dua hala.

Kenderaan menyonsang di jalan sehala selalu kita nampak, dan kebanyakannya penunggang motosikal. Itu kita boleh faham juga sebab kadang kala jenis jalan sehala ini perlu pusing jauh baru boleh ke tempat yang dituju, jadi melawan arus adalah antara pilihan yang 'bernas'. Tapi yang jenis menyongsang jalan dua hala ini apa cerita pula? Bukankah jalan 'halal' ada di sebelah sana? Kenapa nak lawan arus dan mengundang bahaya?



5. Pengguna yang suka bunyikan hon semasa di dalam kesesakan.

Hon adalah antara salah satu cara kita nak berkomunikasi di jalanraya. Secara peribadi, aku berpendapat hon seperti satu makian dan carutan, sebab selalunya kita hon untuk mereka yang perlu dimaki dan dicarut di jalan raya. Tapi jenis yang bunyikan hon semasa jalan raya sedang sesak ini, buat aku garu kepala. Kenapa? Lepas bunyi hon, jalan tiba-tiba jadi lengang ke? Lepas bunyikan hon, semua kenderaan lain akan bagi laluan ke? Orang lain pun nak cepat juga, nak tengok drama TV senja juga. Bukan awak seorang je.



6. Penunggang motosikal yang berborak dengan penunggang motosikal lain semasa sedang bergerak.

Oh maiiii. Ini seperti jadi satu wabak bila masuk kawasan perumahan. Boleh diterima akal lagilah sebab kawasan perumahan ramai kenalan. Tak ditegur nanti bergaduh pula dalam group Whatsapp. Tapi ada juga jenis yang berborak berdua antara dua motosikal di atas jalan besar. Bruh! Kalau nak borak, berhentilah. Kalau nak bergerak, berhentilah borak. Kan senang?



7. Pengguna jalan raya yang dari belakang memotong kanan laju ke depan dan kemudian nak masuk simpang di kiri jalan.

Salah satu budaya yang patut ada pada setiap pengguna jalan raya ialah merancang perjalanan. Kalau rasa simpang atau susur yang perlu diambil sudah semakin hampir, perlahankanlah kenderaan dan rapat ke kiri jalan. Ini tidak, pergi pijak pedal minyak, memotong kenderaan lain sebelah kanan semata-mata nak masuk ke simpang atau susur sebelah kiri itu siapa suruh? Kan dah kena sumpah seranah segala kaum kerabat.



8. Pengguna jalan raya yang memecut laju di dalam kawasan perumahan / kawasan sekolah.

Beza antara manusia dan haiwan adalah manusia mempunyai akal. Akal bertindak sebagai enjin untuk kita menilai kewajaran sesuatu tindakan. Kawasan perumahan dan kawasan sekolah adalah kawasan aktif pejalan kaki. Malah pejalan kaki itu mungkin terdiri daripada anak-anak kecil yang pada lahiriahnya tidak matang lagi menilai bahaya. Jadi, bila ada kenderaan memecut laju di kawasan-kawasan ini, adakah tindakan itu wajar? Di manakah akal mereka pada waktu itu? Atau mungkin monyet yang sedang memandu?



9. Guna telefon bimbit semasa memandu.

Tinjauan statistik Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) menyatakan 80% punca kemalangan jalan raya adalah berpunca daripada kecuaian manusia, dan penyumbang terbesarnya adalah menggunakan telefon bimbit semasa memandu. Rata-rata semua manusia berakal tahu bahaya menggunakan telefon semasa memandu tapi kita semua masih lagi melakukannya tanpa mengira bahaya yang bakal menimpa. Balas Whatsapp, skrol Instagram, panggilan telefon, Bigo LIVE semasa memandu, semua itu kita tahu boleh mengundang bahaya tanpa perlu aku jelaskan bagaimana mekanisme-nya. Tapi masih ramai yang buat, kan? Kalian pun pernah buat, kan? Kan? Kan?



10. Penunggang (dan pembonceng) motosikal yang tidak pakai topi keledar dengan alasan 'dekat je!'

Dulu pernah ada iklan di TV di mana ada seorang ibu minta anak lelakinya ke kedai belikan sos. Anak tadi ke kedai naik motosikal tanpa pakai topi keledar dengan alasan 'dekat je'. Bila sos yang ditunggu tak sampai-sampai, si ibu keluar mencari anaknya dan kemudian menjumpai anaknya menjadi mangsa kemalangan. Sos yang dibeli anak tadi kini bercampur dengan darah yang mengalir dari kepalanya akibat cedera kemalangan.

Iklan di atas sangat memberi kesan kepada aku. Sampai sekarang, walaupun dekat, aku akan pakai topi keledar tanpa perlu disuruh. Orang yang nak membonceng aku pun aku wajibkan pakai topi keledar. Biarlah mereka kata aku skema atau lurus ikut peraturan, yang aku tahu aku tak mahu bertanggungjawab kalau jadi apa-apa ke atas mereka. Pada aku, tak ada baiknya tak pakai topi keledar.



xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx xxxxxxxxxxxx


Demikianlah senarai 10 perbuatan pengguna jalan raya yang (pada aku) mungkin kedengaran satu idea yang bagus tapi sebenarnya tidak. Mungkin ada lagi perbuatan lain tapi tak terfikir pula oleh otak aku semasa sedang menaip ini.

Diingatkan, ini pendapat peribadi aku selaku pengguna jalan raya dan penunggang motosikal. Naik moto ni, perspektif dia lain sikit dengan semasa memandu. Kita nampak lebih daripada pemandu kereta, malah dari sudut pandangan yang lebih tinggi.

Kalau kalian ada tambahan untuk senarai 10 ini,
silalah tambah di ruangan komen.
Aku hargai semuanya.

Ingatlah. Jika kalian menggunakan jalan raya,
pastikan kalian menjadi pengguna yang tidak menyesal.
Jangan tamatkan riwayat gemilang anda di jalan raya.
Pandulah dengan sabar dan berhemah.

Dan jika kalian nak lihat perangan pasangan kalian yang sebenar,
tengoklah cara pemanduan dia.
Atau mungkin boleh belanja dia minum kopi panas.




.







Nov 8, 2017

Hujan, Cuaca dan Kita.



Salam.



So, how's your day?
Adakah tempat kalian sama macam tempat aku; selalu hujan?
Aku yang menggunakan motosikal sebagai mod transportasi utama memang terkesan sangat bila masuk musim hujan.
Tiap-tiap hari basah.
Bilik aku penuh dengan baju lembab,
menyebabkan kelembapan udara di dalam bilik menjadi tinggi
dan meninggikan kebarangkalian aku nak diserang demam.

Adakah kalian terlibat dengan banjir yang sedang melanda beberapa negeri tanah air?
Kalau ada, bertabahlah.
Aku tiada pengalaman menghadapi banjir,
jadi aku sangat tak tahu apa yang orang pernah hadapi akan rasa.
Harap-harap semuanya selamat.

Alang-alang sudah masuk topik hujan,
tahukah anda cuaca adalah perkara kedua paling susah nak diramal manusia?

Ya,
manusia kini boleh rancang plan jajah Marikh menjelang tahun 2020
tapi kita langsung tak mampu nak teka tepat cuaca untuk esok hari.
Sebab itu setiap berita cuaca disebut sebagai 'ramalan kaji cuaca'
sebab kita hanya boleh 'ramal' cuaca,
namun tiada kepastian 100% ketepatannya.

Ramalan kaji cuaca mungkin kata esok hujan lebat di Kuala Lumpur.
Jenuh kita sediakan payung besar, bak Adiff memayung Syahnaz,
tapi rupanya esok hari panas terik diselar mentari.

Jadi pernah kalian fikir kenapa susah sangat nak ramal cuaca?



BUMI ITU LUAS


Aku tak pasti bagaimana kalian 'pandang' Bumi
tapi faktanya, Bumi sangat luas.
Ya, planet kita mungkin bukan antara planet terbesar dalam sistem suria
tapi sebab relatifnya manusia itu kerdil,
maka Bumi, secara relatifnya juga, sangat luas.

Berkenaan cuaca,
cuaca di sesebuah lokasi berubah berdasarkan beberapa faktor
seperti pergerakan angin, kelembapan udara, tekanan udara,
dan macam-macam lagi faktor kecil yang menyumbang.
Dan lagi memeningkan kepala,
kita tak boleh hanya tengok faktor-faktor ini di satu tempat.
Contohnya, nak tahu cuaca di Kuala Lumpur tidak bermakna kita perlu tengok segala faktor yang aku katakan di atas hanya di kawasan Kuala Lumpur, tapi kita perlu tengok lebih luas, mungkin seluruh dunia.

Dan seperti mana yang aku kata tadi,
Bumi sangat luas.
Kita tak ada daya nak kaji setiap titik kawasan di permukaan Bumi.
Tapi kalau ada daya sekalipun,
dengan data yang tersangat banyak itu, kita tiada model yang sempurna untuk meramal cuaca sesebuah kawasan dengan tepat.

Sebab itu untuk zaman sekarang,
kita mampu meramal cuaca hanya tiga hari lebih awal sebelum hari kejadian
berbanding 20 tahun dahulu yang hanya mampu meramal cuaca dalam jarak sehari sebelum sahaja.
Itu pun sampai sekarang tiada yang 100% tepat.



BUTTERFLY EFFECT


Pernah dengar tak orang kata;
satu kibasan sayap rama-rama mampu menyebabkan taufan di sebelah lain dunia?
Ya,
itu merujuk kepada konsep 'butterfly effect', metafora kepada konsep di mana
perkara kecil mampu memberi impak kepada satu perkara yang besar.

Tapi dalam meramal cuaca,
konsep itu boleh diambil secara bulat-bulat.
Disebabkan arah gerakan angin sangat memainkan peranan terhadap cuaca,
maka sedikit perubahan angin (kibasan sayap rama-rama yang lemah)
mampu menyebabkan perubahan yang besar (arah tiupan angin taufan yang kuat).

Konsep ini tidak menyatakan yang kibasan sayap rama-rama itu bersifat memusnah,
tapi hasil kesan dan akibat perubahan pergerakan angin itu sendiri mungkin menyebabkan kesan yang lain yang lama kelamaan akan bertambah dan terus bertambah sehingga meningkatkan kemungkinan berlakunya taufan.

Bila dilihat dari sudut itu,
aku kentut senyap-senyap di depan kedai burger semalam pun
mungkin menyumbang kepada angin ribut yang melanda hari ini.
Siapa sangka kentut aku mempunyai kuasa pemusnah sedemikan.



CUACA VS MANUSIA


Ketidaktentuan inilah yang membuatkan manusia takut dengan cuaca.
Bencana alam adalah antara bencana yang paling menakutkan manusia.
Bukan hanya disebabkan kuasa pemusnahnya,
sebab kalau nak diikutkan, bom atom punya kuasa pemusnah yang lebih besar.
Tapi bencana alam ditakuti kerana kuasa pemusnahnya DAN JUGA ketidaktentuannya.
Ia boleh datang bila-bila masa tanpa ada sesiapapun perlu tekan suis.

Kalau kalian berkesempatan tontonlah filem Geostorm.
Pada masa aku taip entri ini, filem itu masih ditayangkan di pawagam
walaupun sudah masuk fasa terakhir tayangan.

Filem Geostorm ini menceritakan tentang kerakusan manusia (dalam kes cerita ini: Amerika) untuk mengawal cuaca.
Kononnya mereka telah berjaya sempurnakan teknologi untuk mengawal cuaca
supaya dapat mengawal (atau membatalkan) bencana alam yang bakal mendatang.
Tapi bak kata Uncle Ben,
"With great power comes great responsibility."
Idea nak punya kuasa kawal cuaca akhirnya bawa malapetaka,
bukan hanya kepada Amerika, tapi ke seluruh dunia.

Kuasa sebesar itu semestinya tak mungkin boleh dikawal,
apatah lagi oleh makhluk picisan macam manusia.

[Untuk rekod, aku tak tengok (lagi) filem Geostorm ni. Aku tengok trailer je haahahha]

Oh, kalau kalian peminat komik Marvel, lebih tepat lagi X-Men,
mesti kenal dengan satu watak nama Storm.
Storm adalah seorang mutan dengan kuasa mampu kawal cuaca.
Dia mampu keluarkan kilat, angin, hujan, ribut,
malah kalau dia nak, dia mampu tenggelamkan daratan hanya dengan menyeru air dari lautan.
Disebabkan kuasa dia, dia dipuja sebagai dewi di dalam komik itu.

Kedua-dua contoh (tidak formal) ini adalah bukti walaupun dalam dunia fiksyen,
cuaca adalah bukan sesuatu yang boleh dipandang enteng oleh manusia.
Dalam keadaan cuaca melawan manusia,
manusia akan senang-senang kalah.



KESIMPULAN


Bila hujan turun, kita merungut, kita marah.
Tapi kita marah dekat siapa?

Sempena musim hujan sebegini, bertabahlah.
Apa pun dugaan, walau bagaimanapun hujan menyusahkan,
bersabarlah.

Hujan yang sama membawa bencana banjir dan air bah,
adalah hujan yang sama memberi rahmat kepada segenap makhluk-Nya.
Kecil-kecil hujan dipanggil gerimis,
besar-besar hujan dipanggil bencana.

Muhasabah diri tentang betapa kecilnya diri kita sebagai manusia.
Kita selalu berjalan dengan langkah bongkah, mendongak di bumi yang luas.
Tapi bila hujan turun, semua menunduk juga.



Jadi, kalau kalian baca dengan tepat,
aku ada kata cuaca adalah perkara KEDUA paling susah nak diramal.
Apakah perkara PERTAMA?

Jawapannya, HATI PEREMPUAN.






.




Nov 1, 2017

Comot, Populasi, dan Anak Bakal Tunjang Negara.





Salam.

Sedang aku membelek balik gambar dalam galeri telefon aku,
terjumpa satu gambar anak kucing yang comel.
Warnanya putih tapi tidak putih, ada sedikit calit gelap sana dan sini.
Kami namakan dia Comot.

Baru-baru ini, aku jumpa balik kucing itu di rumah ibu bapa aku.
Comot sudah dewasa. Dipanggil Abang Comot sebab dia kini seorang abang.
Walaupun yakin bahawa gambar di telefon aku dan Abang Comot yang dilihat di depan mata itu adalah kucing yang sama, tapi perbezaannya begitu ketara.
Comot kelihatan lebih comot daripada semasa dia kecil.
Bulu comotnya lebih banyak daripada semasa dia kecil.

Berpindah kepada cerita lain yang akan dikaitkan kemudian,
semasa aku dan seorang kawan minum di kedai mamak,
terkeluar satu penyataan dari mulut kawan aku itu.
Katanya,
"Kenapa sekarang senang jumpa dengan orang yang suka buat kerja bodoh ye?"
merujuk kepada satu video tular seorang artis yang 'sepatutnya' bertudung berjoget-joget depan live video menunjukkan underboob-nya, satu masa lalu.
(Kepada yang tidak tahu apa itu underboob, ia adalah bahagian buah dada bawah kepada areola yang bersifat semi-sfera. And yes, for purposes, I've watched that video.)

Dan berpindah kembali ke cerita yang juga akan dikaitkan kemudian,
Perdana Menteri baru sahaja membentangkan Bajet untuk tahun 2018.
(Dahulu Bajet dikenali sebagai Belanjawan, aku tak tahu kenapa nak diubah kepada Bajet sedangkan Belanjawan kedengaran lebih gah dan berprestij)
Walaupun banyak hasil pembentangan yang dijadikan isu perbincangan orang ramai,
tapi aku lebih tertarik apabila PM Najib menyebut frasa,
"...membawa kesenangan kepada seluruh 32 juta rakyat Malaysia"

YA.
Populasi penduduk di Malaysia sudah mencapai 32 juta.

Lebih tepat lagi,
Google beritahu penduduk Malaysia ialah 31,760,854 orang pada 29 Oktober 2017.

Pada zaman aku sekolah dahulu,
Malaysia hanya ada 23 juta penduduk.
Aku ingat sangat sebab aku berangan kalau setiap orang dalam Malaysia beri aku satu ringgit, aku akan jadi lebih kaya RM 22,999,999.00.
(Satu ringgit kurang sebab aku beri diri sendiri RM 1 akan menjadikannya terhapus, kosong)

Inilah topik aku hari ini.
Dan inilah sebenarnya masalah utama manusia.
Pada aku, manusia sudah terlalu banyak.
We are overpopulated.



Limpahan Populasi.


Bila aku cakap overpopulated,
aku kedengaran macam orang jahat dalam filem aksi tipikal Amerika.
"Oh, manusia terlalu banyak, bumi jadi padat,
kita kena letupkan bandar utama dunia dengan bom pew-pew-pew!"
Walaupun tidaklah sampai tahap aku nak letupkan bandar,
tapi aku rasa manusia memang terlalu banyak.
Terutamanya di Malaysia.

Untuk rekod, kita (Malaysia) ada 32 juta penduduk pada tahun ini 2017,
sedangkan pada masa yang sama, Australia hanya ada 24 juta penduduk sahaja
sedangkan Australia itu besarnya satu benua, dapat dilihat jelas di peta dunia
sedangkan Malaysia hanya sebesar satu beras bila dilihat pada glob di perpustakaan.
(banyaknya 'sedangkan')

Inilah sebab kenapa kita asyik nampak orang buat perkara bodoh di Malaysia.
Sebab populasi kita ramai. Kita padat dengan manusia.
Kalaulah (contoh, bukan fakta tepat) peratusan orang yang suka buat perkara bodoh macam berjoget separuh bogel depan live video adalah 1%, maka satu peratus kepada 32 juta manusia ialah 320 000.
320 000 tu masih banyak, tahu?
Ditambah pula dengan penggunaan media sosial secara tidak bijak,
angka 320 000 itu senang-senang sahaja dapat dilihat semua orang.
Sebab itulah zaman sekarang senang nak jumpa orang yang suka buat perkara bodoh.

Bermakna, di luar sana mungkin ada 320 000 video perempuan Malaysia joget depan live camera dan direkod, walaupun yang menjadi tular adalah video artis bertudung berkenaan.

Maka benarlah kata Will Smith semasa ditemubual mengenai anaknya yang suka buat perkara-perkara kurang bijak.
Katanya,
"Budak zaman dulu dengan budak zaman sekarang sama je tidak bijaknya.
Cuma zaman dulu, budak jadi tidak bijak senyap-senyap.
Zaman sekarang, budak jadi tidak bijak terang-terangan (merujuk kepada kewujudan media sosial)."



Jumlah VS Peratus.


Sama keadaannya dengan bulu kucing Comot aku itu.
Katakanlah hanya 10% bulunya berwarna comot, bukan warna putih.
Semasa dia kecil, 10% bulu comot memang susah nak nampak sebab badannya kecil.
Jumlah bulunya kecil disebabkan luas permukaan badan yang rendah.
Tapi apabila dia sudah dewasa, permukaan badan makin besar, bulu makin banyak,
maka 10% bulu comot itu lebih jelas kelihatan.
Sebab itu Comot nampak lebih comot bila dia besar berbanding semasa dia kecil.
Sebenarnya, bulu dia tetap sama, 10% sahaja bahagian yang comot.

Untuk contoh lebih mudah faham,
bayangkan dalam satu kotak ada 10 biji bola ping-pong.
9 berwarna putih, 1 berwarna oren.
Maka peratusan untuk dapat warna oren ialah 10%.
Jika kita mahu dapatkan bola oren, maka kita ada 10% peluang.
Tapi ini juga bermakna kita kena cari HANYA SATU bola dalam 10.

Cuba pula kotak yang sama tadi diisi dengan 100 bola ping-pong.
'Penduduk' kotak itu semakin banyak.
Bagi mengekalkan 10% peluang mendapat bola oren,
maka perlu ada 10 bola oren di dalam kotak itu
dan selebih 90 bola adalah warna putih.
Kini, walaupun kebarangkalian nak dapat bola oren masih sama 10%,
tapi kita ada peluang untuk ambil 10 bola oren daripada 100 bola,
berbanding tadi hanya satu daripada 10.
Bola oren lebih mudah untuk didapati.



Peratusan Bersifat Relatif.


Itu sebabnya kenapa orang ekonomi dan orang politik suka guna peratusan.
Sebab kalau letak peratus, kita nampak 3% lebih rendah daripada 4%.
Sedangkan kita lupa, peratus itu bersifat relatif, perlu dikaitkan dengan sesuatu.

Kadar pengangguran Malaysia di tahap 3.3%.
3.3% adalah peratus secara keseluruhan penduduk.
Jika dibuat perbandingan dengan jumlah penduduk boleh bekerja (ditolak anak kecil, murid sekolah, pelajar IPT dan warga tua), maka peratusan itu pastinya lebih tinggi.

Kerajaan kata kadar pengangguran kekal pada tahap purata 3.3% setiap tahun.
Tapi secara matematiknya,
3.3% pada tahun penduduk hanya 23 juta orang dahulu ialah 0.759 juta.
sedangkan 3.3% pada penduduk 32 juta orang sekarang ialah 1.056 juta.
Dengan kata lain, walaupun kadar pengangguran kekal,
tapi jumlahnya terus meningkat selagi populasi penduduk meningkat.
Jadi, adakah itu sesuatu yang patut dibanggakan?

Seharusnya masalah pengangguran diselesaikan dengan melihat angka,
bukan peratusan.
Kalau tahun lepas 1 000 000 orang, tahun ini pula 990 000 orang,
maka nampak penurunan, tidak kira berapa banyak pun jumlah penduduk.

Kalau boleh, bantu tiap individu secara peribadi, satu persatu.
Tubuh satu badan khas untuk bina plan kurangkan masalah ketidakpasaran graduan.
Mansuh atau kecilkan program universiti yang lemah pasaran kerjayanya.
Besarkan program yang lebih membantu graduan selepas keluar universiti nanti.

Juga bantu mereka yang menganggur yang juga bukan graduan,
mereka-mereka seperti mangsa down-sizing, orang yang 'in-between jobs', orang dewasa yang tiada pendidikan dan mereka yang berhenti kerja atas dasar-dasar tertentu.
Pada aku, pihak berwajib terlalu asyik nak bantu graduan menganggur sampai lupa wujudnya kelompok penganggur dari kalangan bukan graduan.



Penyelesaian(?)


Meletupkan bandar mungkin satu cara untuk menyelesaikan isu overpopulation,
tapi sudah tentu aku melarang keras perbuatan seperti itu di dalam blog ini.
Lagipun perbuatan tersebut bersifat sementara.
Walaupun tidak membiak selaju tikus, tapi manusia juga tidak kurang hebatnya.
Hilang satu bandar hari ini, 10 tahun kemudian, akan wujud bandar baru yang lebih padat daripada bandar tadi.

Sebaiknya, gunakan isu overpopulation ini sebaik mungkin.
Jika setiap 32 juta orang penduduk itu berbakti kepada negara walaupun sedikit,
maka hasilnya tentu mantap.
Kalau 1% penduduk adalah mereka yang suka buat perkara bodoh di media sosial,
bantu mereka yang 1% ini supaya celik dan tidak buat perkara bodoh lagi.
Kalau 3.3% adalah penganggur,
pastikan (kalau boleh) yang turun itu adalah angka, bukannya peratusan.

Ini bukan blog ilmiah untuk aku bincangkan caranya secara mendalam.
Cukuplah kalian tahu yang negara kita semakin padat dengan penduduk.
Maka, pastikan yang padat itu adalah mereka yang membantu, bukannya mereka yang merosakkan.



Kesimpulan.


Aku terfikir isu ini adalah sebabkan satu peristiwa.
Beberapa hari lepas aku ternampak sepasang ibubapa yang buat tak tahu sahaja apabila anaknya mengamuk buat hal ketika ziarah ke rumah orang lain.
Aku tahu, salah satu cara ibu bapa mendidik anak adalah dengan tidak mengendahkan si anak bila anak mula buat tantrum, tapi kalau dah tantrum-nya itu menyebabkan kerosakan kepada harta benda orang lain, hentak-hentak lantai, tarik-tarik karpet, baling barang ke televisyen sampai televisyen itu hampir jatuh, adakah itu masih layak digelar 'mendidik'?

Semasa lihat kejadian itu di depan mata aku, aku terfikir...
"Orang lain nak kahwin, kau nak kahwin juga.
Orang lain nak ada anak, kau nak ada anak juga.
Bila anak buat hal, kau pula sibuk skrol media sosial buat endah tak endah.
Anak kau tu bakal menjadi tunjang negara satu masa kelak.
Kau nak penuhkan negara ini dengan rakyat yang degil dan tak dengar kata ke?
WTF, man. WTF?"

Sekian.





.




Oct 25, 2017

Dari Gastly ke Manusia Gagal.





Salam.

Jadi, kalau kalian follow aku di twitter dan instagram (@cerolian),
ataupun sudah cukup lama baca blog ini,
maka kalian akan tahu bahawasanya aku adalah pemain game Pokemon GO yang aktif.
Aku nak guna perkataan 'tegar', tapi 'aktif' lebih sesuai sebab aku ada jumpa ramai manusia yang labih tegar daripada aku.

Pada yang tidak tahu, di dalam game Pokemon GO,
ada satu feature yang dinamkan 'buddy system'.
Buddy system ialah menjadikan satu pokemon pilihan sendiri sebagai 'teman pendamping', dan selepas berjalan beberapa kilometer yang ditetapkan, maka akan dapat 1 (satu) Pokemon Candy.
Candy ini boleh diguna untuk tingkatkan kuasa Pokemon tersebut
ataupun untuk mengevolusi Pokemon tersebut ke Pokemon evolusi yang seterusnya.

(Fuuuuhhh! It's really hard to explain just a feature in Pokemon GO to a non-player)

Buddy yang aku gunakan sekarang adalah Gastly.
Gastly adalah Pokemon jenis hantu.
Aku suka Pokemon hantu, mungkin sebab perangai aku macam hantu
ataupun bela Pokemon hantu membuatkan aku rasa diri lebih 'misteri'.

Gastly susah nak dijumpai di kawasan keliaran,
jadi aku jadikannya sebagai buddy kerana aku mahu evolusikan Gastly ini ke evolusi seterusnya iaitu Haunter dan seterusnya evolusi ke Gengar.
Gengar adalah antara Pokemon hantu yang (boleh dikatakan) kuat.

Juga,
dalam Pokemon GO selalu diadakan acara istimewa sempena sesuatu keraian.
Bermula 20 Oktober lepas sehingga 2 November ini, Pokemon GO meraikan Halloween.
Jadi sempena Halloween, Pokemon GO melepaskan 5 Pokemon hantu baru dari generasi ketiga Pokemon, dan juga meningkatkan kemunculan Pokemon jenis hantu lain di kawasan liar.

Sudah tentu aku suka.
Banyak Pokemon jenis hantu dapat aku tangkap
dan juga dapat miliki 5 Pokemon hantu baru dari generasi ketiga yang belum dilepaskan.

But I think I like it. Actually, I'm not.

Peningkatan kemunculan Pokemon jenis hantu bermakna peningkatan kemunculan Gastly, Pokemon yang menjadi buddy kepada aku.
Pada mulanya, Gastly yang muncul secara banyak membuatkan aku gembira.
Namun, terlalu banyak Gastly membuatkan aku jadi semakin tidak seronok.

Itulah tajuk isu aku hari ini:
TERLALU BANYAK SESUATU MENJADIKAN IA SEMAKIN TIDAK SERONOK.



LESS IS MORE, MORE IS LESS


Sebelum acara sempena Halloween ini,
aku sangat teruja bila Gastly buddy aku dapat kutip satu candy.
Dia akan dapat satu candy setiap 3 kilometer berjalan kaki.
Aku perlu kumpul 125 candy jika mahu evolusi sehingga ke Gengar.
Aku sudah ada 60 candy, jadi hanya perlu kumpul 65 candy lagi.
Dikira-kirakan, aku perlu berjalan 195 kilometer untuk mencapai tujuan itu.
Sebab itu setiap kali jumlah candy aku bertambah satu persatu,
aku jadi begitu teruja. Aku jadi seronok.
Aku jadi bersemangat mahu berjalan lagi.

Tapi, semasa acara Halloween ini,
hanya selepas 3 hari berlalu, aku sudah kumpul 400++ candy Gastly.
Semua disebabkan aku dapat tangkap Gastly di mana-mana sahaja.
Gastly muncul begitu banyak sehinggakan keseronokan dapat hanya SATU candy dari buddy aku tadi sudah tidak dapat aku rasai.
(Nota: setiap kali aku berjaya tangkap satu Gastly, aku akan dapat 3 candy, dan sempena Halloween, candy digandakan dua jadi akan dapat 6 candy untuk satu Gastly)

Aku patut gembira sebab sekarang aku sudah mampu evolusikan Gastly tadi ke Gengar,
tapi aku langsung tak gembira.

Untuk contoh yang lebih mesra umum,
bayangkan kalian di kedai baju.
Satu baju ini kelihatan sangat menarik,
malah hanya ada satu sahaja di ruangan pameran.
Pasti diri kita akan rasa mahu memilikinya, kan?
Tapi cuba bayangkan pula baju yang sama
tapi ada lebih 10 baju itu tersangkut di ruangan pameran,
pasti kita akan rasa 'alaaa, tak menariklah baju ini'.

Taktik sebegini yang selalu pemilik kedai gunakan.
Hanya satu baju dipamer, tapi kalau kita nak, kita akan ditanya saiz dan pekerjanya akan cari baju itu di tempat lain yang disimpan.
Sebab orang kedai itu tahu kalau dia tayang semua baju yang ada
mesti sambutannya kurang berbanding hanya tayang satu.

Kalian ada contoh lain yang bersifat sebegini?
Bila sedikit jadi menarik, bila banyak jadi kurang menarik?



SCARCITY EFFECT


Untuk satu keadaan yang sebaliknya tapi masih di bawah fenomena yang sama,
pernah tak kalian pergi ke pasaraya dan tertarik dengan perkataan seperti:
'Penghabisan stok!'
'Promosi Hanya Dua Hari'
'Hari Terakhir Promosi'
Bila nampak penyataan sebegini, tetiba rasa nak tengok apa yang dijual.
Kadang-kadang jual gayung plastik je,
tapi hati ini rasa nak beli je padahal dekat rumah mandi pakai shower.

Itu, dalam psikologi sosial dipanggil 'scarcity effect'.
(Tidak pasti apa namanya dalam bahasa, kalau ada yang tahu bolehlah berkongsi.)

Scarcity effect ini ialah meletakkan nilai lebih tinggi kepada barang yang kurang (scarce) dan meletakkan nilai yang rendah kepada barang yang banyak (abundant).

Dalam kes Gastly dan Pokemon GO aku tadi,
bila Gastly susah didapati (scarce), jadi aku rasa seronok memilikinya.
Bila Gastly berlambak dan senang nak dapat (abundant), aku sudah jadi tidak seronok.

Sama macam kes baju di ruangan pameran tadi.
Baju yang banyak tidak semenarik dengan baju yang hanya ada satu.

Ingat lagi McFlurry Durian yang pernah dikeluarkan McDonalds sedikit waktu lalu?
Walaupun harganya hampir dua kali ganda harga McFlurry biasa,
tapi sebab katanya ia promosi terhad,
maka McFlurry itu habis stok hanya selepas 3 hari dipasarkan.
(Cuba teka siapa yang tak sempat rasa? Yours truly)

Contoh yang sedikit di luar kebiasaan ialah telefon pintar.
Kenapa kalian fikir ada jenama yang keluarkan telefon pintar dengan harga beribu-ribu ringgit walaupun feature asas seperti bluetooth dan radio pun tiada di dalamnya?
Kerana bila letak harga mahal, jadi tidak ramai yang mampu milikinya,
sekaligus menjadikannya sukar didapati (scarce) dan nilai jika memilikinya tinggi.
Dengan kata lain, pengeluar telefon pintar itu bukan jual telefon semata-mata,
mereka jual 'keseronokan memiliki sesuatu yang orang lain tidak mampu miliki'.



MANUSIA DAN SCARCITY


Pernah satu ketika dahulu aku berbual dengan seorang lelaki pelajar kejuruteraan.
Katanya, dalam kelas dia yang seramai 20 orang, hanya ada 2 orang perempuan,
membuatkan 2 orang ini menjadi rebutan ramai walaupun pada dasarnya mereka itu hanyalah biasa-biasa sahaja.

Scarcity effect tidak hanya berlaku kepada barangan,
tapi boleh berlaku kepada manusia.

Kita selalu dengar tentang 'cabaran menjadi tunangan orang', kan?
Selalunya dikatakan ketika dalam tempoh bertunang,
akan ada pihak ketiga yang akan mengganggu hubungan itu.
Kalau lemah menempuh cabaran, maka hubungan tunangan boleh terganggu dan lebih teruk putus di tengah jalan.
Ini juga contoh 'scarcity effect' kepada manusia.

Bila seseorang menjadi tunangan (atau pasangan) seseorang,
sekaligus membuatkan diri dia sukar untuk didapati (scarce) dan nilainya meningkat.
Dia yang pada sebelumnya tidaklah semenarik mana,
terus menjadi sangat menarik selepas menjadi milik orang lain.

Tapi, menjadi milik orang bukanlah satu-satunya cara untuk manusia menjadi 'scarce'.

Seorang artis perempuan N dahulunya tidak bertudung dan sangat seksi.
Pada ketika itu dia sudah dikira menarik.
Tapi kini dia sudah bertudung sopan dan tidak seksi lagi,
serta merta dia menjadi idaman kebanyakan lelaki di luar sana.
Ini kerana sesuatu yang bernilai kepadanya kini tidak lagi ditayang
menjadikannya 'scarce' dan meningkatkan nilai dirinya.

Kita juga pernah dengar orang kata 'jangan jual murah sangat'
merujuk kepada hubungan sosial sesama manusia, kan?
Maksudnya, untuk menarik hati seseorang,
jangan terlalu mudah untuk luahkan perasaan suka walaupun sebenarnya kita memang suka.
Perlu ada jual mahal sedikit supaya sampai masa kita akan lebih dihargai.
Kalau kita terlalu senang untuk didapati,
maka kita tidak akan lebih dihargai.



KESIMPULAN


Aku sudah tulis panjang lebar tentang 'scarcity effect' dan contoh-contohnya.
At this point you will wonder what exactly is my point, kan?
Selalunya dalam post-post aku sebelum ini,
walaupun isunya besar dan umum,
aku akan jadikannya isu personal dan kaitkan dengan diri aku sendiri.
Sudah tentulah kali ini juga aku akan kaitkan dengan diri sendiri,
ini blog aku, mestilah aku akan bercerita tentang diri aku.

My point is,
semua isi di atas adalah contoh perkara yang akan aku fikirkan dalam kepala.
Bila kita nampak sesuatu perkara yang kita tahu, bukankah ia sangat mengujakan?
Aku berminat melihat perkara sebegini berlaku.
Dan aku juga berminat untuk bualkan perkara seperti ini dengan orang lain.
Daripada bercerita tentang cuaca hari ini ataupun gosip artis ataupun isu politik yang tidak habis-habis, pada aku, hal seperti di atas berlipat kali ganda lebih menarik untuk dibualkan.

Ceritanya,
suatu hari aku duduk di bangku rehat sebuah taman.
Tiba-tiba aku didatangi seorang perempuan, mungkin sebaya mungkin lebih muda.
Dia duduk di sebelah aku dan hadiahkan aku senyuman.
Aku balas senyuman, kemudian dia mulakan bualan.
Dia memuji cuaca yang baik dan langit yang cerah.
Aku iyakan sahaja kerana semuanya memang fakta.
Dia tanya tentang harga petrol terkini sama ada naik atau turun.
Aku kata aku tidak tahu dan tidak ambil tahu.

Suasana menjadi janggal.
Kedua-dua kami diam.
Aku terus belek telefon, tangkap Gastly dalam Pokemon GO.
Dia pula terus diam, dan kemudiannya berlalu tanpa suara.

Inilah salah satu sebab kenapa aku masih bujang sehingga sekarang.
Aku tahu 'scarcity effect' dan beberapa perkara lain dalam sains sosial,
tapi aku sendiri tidak tahu cara untuk bersosial.
Aku tidak tahu cara untuk membalas perbualan manusia.
Aku tahu apa yang menjadikan manusia menarik,
tapi aku sendiri tidak jadikan diri aku sendiri menarik.

Aku seorang yang gagal.




.




Oct 18, 2017

25 Hari! [Bahagian Akhir : Kisah Klasik Untuk...]


Salam.

Selamat menyambut Deepavali kepada yang menyambut.
Walaupun aku yakin tak ada pembaca blog ini yang sambut Deepavali,
tapi kalau ada silalah beritahu. Manalah tahu, kan?

At this point, you have to agree with me that
this blog is becoming more and more boring.
Aku asyik borak perkara yang tidak menyeronokkan
dalam nada yang langsung tiada positif.
Siapa suka, kan?

I'm sorry, but please bear with me.
This is just a phase, it'll eventually pass, I'm sure.

Jadi, ini adalah bahagian terakhir untuk siri [25 Hari!].
Bahagian pertama aku sentuh bagaimana aku demam selama 25 hari.
Bahagian kedua aku mempersoalkan hobi melukis aku.
Bahagian ketiga pula aku berbicara tentang penamat riwayat.

Jadi,
untuk bahagian terakhir ini,
apa lagi besar daripada kematian sehinggakan aku letak isunya pada bahagian terakhir dan bukannya cerita tentang mati?

Jawapannya, MASA DEPAN.

Sejak beberapa tahun belakangan ini,
aku sudah setkan impian aku untuk sambung belajar.
Jadi, aku kumpul duit untuk tujuan itu sebab rasanya semua tahu,
nak belajar ini bukannya sepuluh sen dua ongkosnya.
Makan ribu riban juga.

Please don't talk about sponsorship.
Tak senang tau nak minta sponsor, even pinjaman sekalipun.
Jadi cara paling mudah ialah dengan sponsor diri sendiri.

Ok, sambung cerita...

Begini.
Aku simpan duit.
Bila duit mula nak banyak, ada sesuatu berlaku.
Jadi aku kena guna duit simpanan itu.
Lepas sudah reda, aku mula simpan semula.
Bila duit mula nak banyak balik, sesuatu lain pula berlaku.
Jadi aku kena guna duit simpanan itu lagi.

Dan perkara ini berulang lagi dan lagi dan lagi...

Ada orang terdekat perlukan duitlah.
Motosikal aku buat hal teruklah.
Aku kena buat pembedahanlah.
Aku pindah rumahlah.
Macam-macam lagi perkara berlaku yang memerlukan aku untuk guna duit simpanan itu.

Kalau asyik guna, bila rasanya aku boleh sambung belajar?

Aku ketepikan peningkatan kerjaya diri sebab aku tak mahu terikat.
Aku mahu, bila tiba masanya, aku akan terus masuk belajar tanpa perlu habiskan mana-mana kontrak.
Pada sesetengah orang, nampak macam aku buang masa.
Tapi itulah, impian aku bukan untuk berjawatan besar,
aku cuma mahu sambung belajar.

Semasa demam 25 hari aku itu, aku ada terfikir.
Seperti ada sesuatu yang tidak izinkan aku untuk sambung belajar.
Segala rancangan aku untuk sambung belajar, semuanya tidak menjadi.

Bahasa orang selalu guna ialah 'belum ada rezeki',
tapi aku ini bukannya makin muda.
Kalau sekarang tiada rezeki, bila lagi?
Takkan aku nak sambung belajar pada usia emas, kot?
Orang lain masa tua nak hidup senang dengan anak cucu,
aku pula masa tua sibuk selak buku, study untuk exam.

Bila aku fikir lagi secara mendalam,
masalah utama aku bukannya 'tiada keizinan',
tapi lebih kepada kekangan kewangan.

Aku rasa, aku tidak cukup tekad untuk menyimpan.
Aku bukanlah dari keluarga kaya raya, tapi aku juga tidak susah.
Aku juga bukanlah jenis yang mengejar kekayaan,
aku selesa dengan hidup aku sekarang.
Cuma,
dari konteks mahu sambung belajar,
adalah sangat beruntung kalau aku ini kaya raya.
Alangkah baiknya kalau duit bukan sesuatu yang memeningkan kepala.
Bila mahu, buat, dan akan dapat. Kan best?

(Dan sekarang aku kedengaran seperti seorang yang sangat tidak bersyukur)

Aku percaya satu hari nanti ada rezeki aku.
Mungkin bukan sekarang, tapi pasti ada bahagian untuk aku.
Aku cuma harap aku tidak terlambat.

Mungkin juga aku perlu lebih banyak bersedekah kerana dengan bersedekahlah, rezeki kita menjadi murah.

Ya. Masa depan.
Aku mahu sambung belajar, tapi aku tidak mampu.
Aku juga tidak dapat tingkatkan kerjaya kerana peluangnya bukan datang selalu.
Aku juga tidak mampu berkeluarga kerana...sekali lagi...tak mampu.

Jadi rasanya...
...apa akan jadi pada masa depan aku?





.




Oct 11, 2017

25 Hari! [Bahagian 3 : Persamaan Mutlak]



Salam.

Terkejut ada bahagian 3?
Pada aku, benda ni boleh dijangka.
Logiklah kalau ada bahagian 2, sudah tentu ada bahagian 3, kan?

Bagi yang baru baca blog ni, ini ringkasannya;
25 Hari (bahagian 1) aku bercerita tentang demam selama 25 hari yang aku alami.
Bahagian 2 pula aku memetik bagaimana demam 25 hari itu mengubah perspektif aku terhadap hobi melukis aku, yang pada aku sekarang, bukan lagi satu hobi yang menyeronokkan.

Dalam bahagian ketiga ini,
aku akan sentuh isu yang lebih berat, tapi tiada siapa yang dapat lari daripada memikirkannya.

Bila kau demam terlantar atas katil,
mata merenung dinding, memandang siling dek kerana badan tidak boleh bergerak.
Datang pula sensasi lain, kau dapat rasa organ dalaman kau bergerak-gerak,
mesti kau akan terfikir tentang sesuatu ini, kan?

Mesti kau akan fikir tentang KEMATIAN.


Tuan-tuan, puan-puan yang dihormati,
Satu persamaan mutlak antara semua manusia di atas muka bumi ini,
juga persamaan mutlak antara semua makhluk bernyawa yang pernah wujud dari awal kewujudan alam sehinggalah sekarang,
adalah kita semua akan merasai MATI.

Pada saat aku demam teruk dan terlantar tak dapat bergerak,
terdetik dalam hati aku,
"Adakah ini penamatnya?"
"Adakah usia aku (sekian-sekian) tahun akan tamat di atas katil ini?"
"Apa akan berlaku selepas aku mati?"
"Siapakah yang akan bersedih dengan kematian aku?"
"Adakah mereka yang akan berseronok bila aku pergi?"
"Adakah perginya aku akan menyusahkan orang lain? Atau memudahkan hidup orang lain?"

Let say I died.
Yang paling terkesan tentulah famili.
Mereka bersedih, berduka dalam satu masa tertentu.
Tapi selepas berlalu masa itu, mereka pun akan teruskan hidup, kan?
Sampai bila mahu bersedih, kan?
Akhirnya, hanya dikenang ketika waktu tertentu sahaja, seperti tarikh hari lahir dan pada hari raya.
Sampai satu masa, walaupun kepada keluarga sendiri, kita akan hanya menjadi sejarah.

Belum cakap kawan/kenalan lagi.
Beberapa hari pertama ketiadaan kita, mungkin mereka akan terkesan.
Yang baik akan sedekahkan al-fatihah,
yang tak berapa baik hanya taip 'al-fatihah' di status facebook.
Mungkin ada yang jadi ralat persoalkan diri kenapa waktu hidup dahulu tak spend time lebih, tapi majoriti akan teruskan hidup seperti biasa selepasnya, kan?

Tempat kerja?
Mungkin kerana tamat begitu sahaja,
jadi akan menyusahkan pengurusan untuk periksa balik progress kerja kita.
Mana yang perlu diteruskan, akan diserahkan kepada pekerja lain.
Mana yang senyap, akan terus disenyapkan, kecuali berbangkit kemudian hari.
Jawatan yang kosong, akan diisi calon lain.
Dan hidup semua orang pun akan terus menjadi normal seperti biasa.

This will not only happen to me.
Ini akan berlaku kepada semua orang.
Orang besar, orang kecil, orang ternama, orang tiada nama.
Yang beza hanyalah masa orang keliling nak 'move on'.

Kita umpama bintang di angkasa raya.
Hilang satu dek supernova, esok hanya tinggal sebagai debu angkasa.

Jadi, for once, kenapa memilih untuk melakukan perkara sia-sia semasa hidup?


Apa kata kita lakukan sesuatu yang memberi impak kepada orang lain, walaupun sesudah kita tiada.
Kita berbuat baik kepada semua orang, termasuk mereka yang tidak kita kenal,
supaya apabila kita tiada nanti, kita tetap berada di dalam doa mereka.

Aku tidak kata aku sudah baik,
tapi aku ingin jadi baik.
Aku tidak mahu dikenali dengan sifat negatif aku.
Aku mahu diingati kerana kebaikan aku, walaupun untuk seketika.

Semua itu aku fikirkan semasa terlantar demam atas katil.

Jadi, untuk itu,
aku di sini ingin memohon maaf kepada semua yang sedang membaca.
Aku tidak pasti apa salah yang pernah aku buat,
tapi kalau ada, maafkanlah aku.
Kita baiki segala yang tidak elok antara kita.

Berhari-hari aku terbaring sambil merasa organ dalam badan bergerak.
Mati itu pasti.
Aku cuma harap, kalau aku pergi,
aku akan pergi dalam keadaan orang yang kenal aku akan doakan yang baik-baik untuk aku, bukannya berasa lega aku sudah tiada.

Sekali lagi,
aku minta maaf.

Bye.





.




Oct 4, 2017

25 Hari! [Bahagian 2 : Jawapan Untuk Soalan]


Salam.

Sebelum aku mulakan entri hari ini,
kalian yang (masih) baca blog ini tak kisah ke post kebelakangan ni tak ada komik/gambar dan text sepenuhnya?
Kalau kisah, beritahu aku.
Kalau mampu aku akan ubah nanti.

Kalau kalian baca entri lepas,
doktor beritahu aku tiga demam dalam kurang sebulan yang aku alami sebenarnya hanya satu demam yang panjang.
Semasa demam panjang itu, banyak perkara aku fikirkan.
Antaranya ialah hobi aku melukis.

Sepanjang demam itu bermula sehinggalah hari ini, aku langsung tidak melukis.
Biar aku beritahu kenapa.

Sudah tentu sepanjang demam aku tidak melukis sebab aku demam.
Asyik terbaring tidur dan lemah satu badan.
Tapi masa sihat balik, pun aku tak melukis langsung.
Aku langsung tak ada hati nak pegang pen atau stylus untuk melukis.

Semuanya disebabkan aku rasa aku sudah hilang motivasi untuk melukis.
Kalau tanya aku yang 5 tahun lalu, aku akan kata melukis adalah hobi aku.
Bila aku buat hobi aku, aku rasa seronok dan puas.
Tapi kalau tanya aku sekarang, aku rasa walaupun aku melukis,
aku sudah tidak puas dan tidak seronok seperti dulu.

Aku dapat rasa sendiri yang pada satu tahap,
aku sudah tidak ada improvement dalam melukis.
Skil melukis aku sudah sampai 'bumbung'nya, dan tak akan naik lagi.
Lukisan aku pun bukanlah cantik mana, bukanlah menarik mana,
jadi bila aku rasa aku tiada improvement, aku hilang motivasi.

Logiklah.
Buat apa aku terus struggle kalau hasilnya tiada kemajuan?
Buat apa aku nak terus melukis kalau kepuasan pun tiada, seronok pun tiada, kemajuan pun tiada.
Benda lain yang habis lagi adalah.
Masa habis, peralatan melukis habis, kertas habis.

Pada tahap aku sekarang, aku rasa segalanya tidak berbaloi.
Macam yang aku cakap tadi, aku sudah hilang motivasi.

Beberapa tahun lepas memang seronok melukis.
Dari komik aku, aku dapat kenalan baru dan ramai sama ada di media sosial ataupun di blog ini.
Banyak projek komik yang aku sertai.
Banyak bakat lain yang aku cemburui.
Dari orang asing menjadi kenalan menjadi kawan,
saat itu memang seronok.

Tapi kini tidak lagi.

Most of them friends yang aku kenal masa itu
sudah tunjukkan warna sebenar mereka.
You know...human. Give them time, they'll show you their true color.
Of course, kumpulan yang dulu masing-masing gigih menonjolkan diri dengan lukisan
kini sudah berpuak-puak, berpecah-belah.
Dia ini tak nak kawan dengan dia ini.
Dia ini tak boleh ngam dengan dia ini.
Dia ini pulaukan dia ini.
Macam-macam karenah dalam kumpulan kecil itu.

Sudahlah industri melukis komik pun sudah kecil,
orang dalamnya pun nak berpuak-puak lagi.
Ini membuatkan aku semakin kurang minat.

Aku sendiri pun.
Dengan prinsip anonymity aku tergadai.
Entah apa salah, aku kini bermasam muka dengan beberapa yang lain.
Macam bakat aku yang aku ceritakan tadi,
aku tidak nampak kemajuan dalam apa-apa cabang, termasuklah dalam hubungan sosial dengan para geng melukis.

Sebab itu, kini, aku hanya berdiam diri dalam kumpulan tadi.
Masih baca mesej-mesej mereka di group chat,
tapi sekadar baca.
Takut bila aku masuk campur, ada yang jauh hati.

Sebab itulah, kini,
aku jadi malas nak melukis.
Aku hilang motivasi. Langsung tak ada sebab lagi untuk aku terus melukis.

It's sad, to not to do what once we loved to do,
but I kinda have no choice.

Aku tak tahu masa depan,
tapi untuk masa sekarang, aku masih mencari jawapan.
Jawapan kepada satu soalan yang aku tanya diri aku masa demam 25 hari hari tu.
Soalan yang berbunyi;
"Kenapa perlu untuk aku terus melukis?"

Kalau kalian rasa ada jawapannya,
bolehlah beritahu aku.
Sebab sekarang, aku langsung tak ada jawapan.

Bye.






.




Sep 27, 2017

25 Hari!



Salam.

Jadi minggu lepas aku demam.
Kali ketiga dalam masa kurang satu bulan.
Teruk.
Jadi aku ke klinik minta diperiksa.
Seperti biasa, doktor marah dulu persoalkan kenapa tak datang masa demam kali pertama.
Kenapa nak tunggu demam ketiga baru singgah klinik.

It's hard to explain kenapa tak datang klinik.
Jadi aku terima je laa kemarahan itu.
Doktor ni, marah-marah pun dia akan tetap check kita.
Dah nama pun doktor. Dah itu kerjanya.

Pendekkan cerita, aku kena check darah sebab takut suspek apa-apa sakit.
Nak pendek cerita lagi, keputusan darah keluar 3 hari kemudian.
Nak lagi pendek cerita, keputusan menunjukkan aku kena 'viral infection'.
Dalam bahasa yang lebih difahami manusia sejagat, aku demam biasa.
Ya, viral infection ialah demam biasa.

"Jadi doktor, kenapa saya boleh kerap sangat demam walaupun demam biasa? Tiga kali demam dalam masa kurang sebulan bukan biasa, kan?"
Aku tanya banyak soalan sebab aku bayar rawatan tu.

Doktor jawab,
"Saya rasa awak bukan demam tiga kali. Ketiga-tiga demam tu adalah demam yang sama. Awak demam sekali sahaja."

"Maksud doktor, saya bukan demam tiga kali, tapi cuma sekali, tapi lama? Saya demam 25 hari?"

Doktor angguk tanpa suara.
Aku pun angkat kening sebelah, juga tanpa suara.
Tapi suara hati aku keras mengatakan kejanggalan.

Doktor menidakkan aku demam tiga kali tapi mengiyakan aku demam 25 hari?
Antara demam tiga kali sebulan dengan demam sekali 25 hari, pada pendapat aku, demam tiga kali lagi masuk akal sebab demam 'biasa' selama 25 hari kedengaran sangat ekstrim.

Tapi itu aku versus doktor.
Sudah tentu doktor menang.
Aku ada apa kredibiliti nak lawan doktor, kan?

Alhamdulillah sekarang aku sudah sembuh.
Tak pasti sepenuhnya atau tidak sebab aku masih batuk dan kehilangan suara.

Demam ini juga banyak membuatkan aku berfikir.
Tapi itu untuk post minggu-minggu depan.
Aku dapat rasa demam ini adalah 'turning point' aku untuk sesuatu.
Nanti aku cerita.

Sebulan demam bermakna sebulan juga aku tidak melukis.
Kalau kalian follow aku di instagram @cerolian,
aku sudah lama tidak post apa-apa lukisan/komik baru.
Yang terkini pun lukisan simpanan aku, yang sudah lama aku lukis dulu.
Jari pun dah jadi keras membatu. Nanti nak mula semula mesti susah.

Bagi yang doakan aku supaya cepat sembuh,
TERIMA KASIH.
Kita tidak kenal rapat tapi kalian sudi doakan aku.
Aku macam sangat terharu bila ada yang sudi doakan aku walaupun bertaraf orang asing.
Itulah keindahan internet. Ia dapat rapatkan kita yang tanpanya mungkin tak akan ada peluang untuk bertemu kenal.

Baiklah.
Cukup bebelan hari ini.
Terima kasih kerana sudi baca blog aku ini sampailah ke hari ini.
Makin bosan pun kalian tetap datang baca.
Terima kasih sangat.

Bye.






.




Sep 20, 2017

Lagi, Lagi dan Lagi.


Salam.

Maaf.
cEro demam. Lagi.
3 kali demam dalam masa kurang sebulan.
Tak pernah seteruk ni.
Seolah-olah ada sesuatu yang mahu diberitahu kepada aku.

Entahlah.

Doakan aku cepat sembuh ya.

Bye.




.




Sep 13, 2017

Ekor Kuda, Ikat Dua dan Mentaliti.


Salam.

Hari ini ada komik.
Yahuuuu.




Sebenarnya lama sudah aku perasan,
tapi sebab ini perkara remeh dan kecil
jadi aku tak pernah perbesarkan.

Perasan tak,
lelaki, kalau berambut panjang dan nak ikat rambut,
hanya ikat satu sahaja yang diterima masyarakat.
Kalau tiba-tiba ada lelaki yang rambut ikat dua,
maka akan dipandang serong masyarakat.

Betul, kan?

Manusia seantero dunia menerima lelaki yang rambutnya ikat satu.
Rambut ikat satu lebih dikenali sebagai 'ponytail' atau dalam bahasa Mak aku ialah 'ekor kuda'.
Ekor kuda ni sudah biasa kita lihat lelaki gayakan.
Contoh mudah seperti Johnny Depp, Salt Bae dan OC Ankel Jonni yang dulu.
Aku pun selalu buat rambut ikat satu.

Rambut ikat dua pula lain ceritanya,
juga dikenali sebagai bunches/twintails/pigtails lebih sinonim dengan perempuan sahaja.
Amatlah tidak normal untuk melihat lelaki menggayakan rambut sebegini.

Itulah yang menjadi persoalan aku.

Kalau lelaki dengan rambut ikat satu diterima semua,
kenapa lelaki dengan rambut ikat dua tidak diterima sama macam rambut ikat satu?
Maksud aku, berapa banyak ikat rambut tidak melambangkan apa-apa simbolik dan pemahaman, sekadar menambah jumlah ikatan rambut, tapi kenapa hanya satu jantina sahaja diterima menggayakannya?

Untuk mengukuhkan fakta,
satu hari aku sengaja buat rambut ikat dua (seperti dalam komik)
dan keluar rumah main Pokemon GO.
Seperti yang semua orang jangka,
mata-mata yang melihat sama ada pelik,
gelak sorok-sorok ataupun buat muka geli dan menyampah.

Secara teknikal,
aku hanya bahagikan rambut aku kepada dua dan ikat di kiri dan kanan kepala.
Tiada apa yang berubah melainkan ikatan rambut.
Aku masih lelaki.
Kalau aku bercakap, masih bersuara lelaki.
Kalau aku menumbuk, sakitnya masih sama dengan sakit aku tumbuk ketika rambut aku diikat satu.
Tiada apa yang berubah.

Tapi kenapa aku mendapat dua reaksi yang berbeza?

Aku rasa tiada jawapan jitu untuk persoalan aku ini.
Tapi apa yang boleh aku kaitkan ialah MENTALITI.

Mentaliti masyarakat zaman sekarang berpendapat lelaki tidak seharusnya menggayakan rambut ikat dua untuk apa sahaja keadaan.
Mereka yang tidak mengikut mentaliti ini akan dilabel 'pelik' dan 'tidak normal'.

Tapi,
mentaliti boleh diubah (walaupun bukan semalaman).
Masih ingat pada satu saat dulu,
buat sanggul rambut di atas kepala hanya perempuan?
Kini, 'man bun' (sanggul lelaki) diterima sebagai satu bentuk gaya rambut lelaki.
Malah man bun menjadi kegilaan ramai perempuan,
apatah lagi bila digandingkan dengan jambang yang lebat di dagu.

Begitulah mentaliti masyarakat yang berubah,
menerima sesuatu yang pada satu masa dulu satu taboo menjadi satu perkara normal.

Banyak lagi contoh konsep mentaliti yang boleh diubah.
Dahulu hanya lelaki yang layak mengundi,
sekarang sesiapa sahaja layak tidak kira apa dalam kain.
Dahulu hanya lelaki sahaja menunggang motosikal berkuasa besar,
sekarang selagi tak buka helmet tayang muka, memang susah nak beza jantina.

Bukan aku nak suruh masyarakat ubah mentaliti menerima lelaki dengan rambut ikat dua.
Aku sendiri pun bukannya boleh terima sangat lelaki dengan rambut ikat dua ni.
Kalau lepas ikat dua tu muka makin kacak, tak apalah juga.
Ini muka pun dah macam kaki pecah rumah, sekali ikat dua terus rasa nak rejam dengan selipar.

Apa yang aku nak sampaikan ialah
mentaliti diubah secara berperingkat dan memakan masa.
Jika kita mahu mengubah sesuatu,
jadikan amalan yang 'kurang normal' itu sebagai satu amalan dahulu.
Lama kelamaan ia akan diterima sebagai satu norma.

Contohnya,
beratur ketika naik LRT.
Simpan dahulu sampah selagi tidak jumpa tong sampah.
Ucap terima kasih kepada sesiapa sahaja yang berbuat baik kepada kita.
Senyum kepada semua orang tanpa prejudis.
Kurangkan melihat keburukan orang sebaliknya raikan kebaikan orang.
Berfikir dahulu sebelum rasa nak kritik orang lain di media sosial.

Semua yang aku senaraikan di atas walaupun sebenarnya sangat basic,
tapi kebanyakannya bukanlah satu amalan. Bukan norma.

Percayalah,
dengan mengubah benda basic dan asas sebegini dan dijadikan amalan
maka benda besar dan kompleks yang lain akan turut berubah ke arah yang lebih baik.

Kita tinggal di dalam negara membangun yang menuju ke arah maju.
Takkan mentaliti kita pula nak ketinggalan masih seperti di zaman dahulu?



Nota kaki:
Pada Sukan SEA 2017 yang lepas,
aku ada timbulkan satu persoalan.
Kenapa sukan seperti bolasepak, ragbi dan hoki ada kategori lelaki dan perempuannya
tapi sukan bola jaring hanya untuk perempuan sahaja dipertandingkan?
*emoji gosok dagu memikir*




.




Sep 6, 2017

Tentang Demam (Aku).



Salam.

Topik kita pada hari ini ialah DEMAM.


Demam suatu masa lalu pernah menjadi kebanggaan aku.
Bukan aku berbangga aku demam, tapi aku sangat jarang diserang demam.
Tapi bila sekali aku demam, aku demam teruk.
Terlantar atas katil, lenguh satu badan, muntah sana sini.
Namun episod teruk selalunya hanya sehari,
pada hari kedua aku sudah masuk fasa sembuh.

Namun itu dulu.
Ketika entri ini ditaip, aku sudah masuk hari keenam demam.
Masih lembik satu badan.
Aku sambut Hari Merdeka Malaysia ke-60 dalam keadaan demam.
Aku sambut Hari Raya Aidiladha juga dalam keadaan demam.
Dan selang seminggu lebih sebelum aku diserang demam ini,
aku sudahpun demam 4 hari.

Mana pergi entah ajaib jarang demam yang dulu.
Mungkin sebab selalu sangat canang, jadi ajaib makin hilang.
Atau mungkin juga faktor usia, almaklumlah, aku bukannya makin muda.
Atau mungkin juga tulah akibat sakitkan hati siapa-siapa.
Atau Allah SWT tarik nikmat kerana aku kurang bersyukur.
Habis hilang segala kelebihan yang ada pada diri.

Orang keliling aku kata demam sekarang dengan demam 2 minggu lepas adalah demam yang sama.
Tapi aku menafikan sebab di antara demam itu aku sihat walafiat.
Aku siap boleh buat kerja luar jauh lagi tanpa masalah.
Lagipun, kalau demam itu demam yang sama,
maka aku sudah demam hampir 20 hari tanpa sembuh.
Kurang boleh diterima akal di situ.

Jadi aku sendiri buat kesimpulan yang dua demam itu adalah demam yang berbeza.


KENAPA TAK PERGI KLINIK?

Soalan cepu emas yang selalu aku dapat bila cakap diri demam ialah
"Pergi klinik tak?"
Well, how to say this in a proper way...
Bila engkau seorang diri, dan kau demam terlantar tak sedar diri,
pergi klinik bukan satu perkara mudah, tahu tak?
Lagipun aku ada perangai tak suka susahkan orang nak papah, usung, pegang sana sini.
Memang aku tak suka susahkan orang sebegitu
walaupun di mata orang lain akan nampak aku macam egois tak nak nampak lemah.

Di saat sebeginilah aku kepingin teman sehidup semati #ewah
Entahlah... Jauh sangat jodoh ni, apakan daya.

Tapi setiap demam (pada aku) adalah pengalaman baru.
Benda yang aku nak kongsi di bawah mungkin kedengaran tak masuk akal.
Kalian boleh kata aku reka cerita, menipu atau tokok tambah,
tapi ini memang sebenar-benarnya yang berlaku pada diri aku.


CERITA TAK MASUK AKAL.

Setiap demam pada aku adalah pengalaman baru.
Setiap demam akan beri sensasi yang berbeza.
Bermacam-macam jenis sensasi pernah aku dapat,
namun ada beberapa yang kuat melekat dalam benak otak aku sebab pengalamannya yang berbeza sangat.

Dulu pernah sekali semasa aku demam,
aku dapat sensasi yang badan aku mengecil dan membesar sesuka hati.
Juga pernah sekali dulu aku demam,
aku dapat sensasi badan aku kurus dan gemuk silih berganti.
Juga pernah sekali dulu aku demam,
aku dapat rasa organ dalaman aku bergerak ke kiri ke kanan semasa sedang terbaring atas katil.
Aku tak pernah kongsi pengalaman ini secara peribadi dengan sesiapa pun sebab aku sendiri tahu itu semua tak masuk akal.

Aku orang sains.
Penjelasan saintifik paling dekat aku boleh kata adalah semua itu sejenis bentuk halusinasi.
Bila badan lemah, sistem organ (dan otak terutamanya) menjadi kacau bilau.
Jadi otak terpaksa terjemah setiap maklumat kacau bilau itu sebagai data yang masuk akal, maka wujudlah sesuatu sensasi yang tak sepatutnya wujud, dicetuskan hanya di dalam otak sendiri.

Penjelasan selain daripada itu aku kurang pasti.

Namun,
dua demam terakhir yang aku lalui (yang hanya berjarak seminggu) ini
lain daripada sensasi yang aku sebutkan di atas.
Sensasi-sensasi di atas berlaku semasa aku sedang terlantar atas katil.
Dua demam terakhir ini, berbeza.

Demam sebelum ini,
sensasi yang datang adalah rabun aku tiba-tiba hilang.
Sepanjang aku demam, aku tak perlu pakai cermin mata langsung
dan masih boleh membaca mana-mana perkataan yang ada tidak kira jaraknya.
Aku menjadi tidak rabun lagi.

(Kalau di sini ada sesiapa terkejut dan baru tahu, YA, aku pemakai cermin mata walaupun bukan sepanjang masa)

Namun,
'keajaiban' rabun yang hilang itu pun hilang sendiri bila demam aku sudah kebah.
Sebab itu aku tahu dua demam itu demam yang berbeza,
sebab kalau demam yang sama, aku masih menjadi tidak rabun sekarang ini.

Ok.
Untuk demam yang sekarang ini sedang melanda pula,
sensasinya juga berbeza.
Bila aku dengar lagu di radio,
aku mampu asingkan muzik dan lirik lagu tersebut seperti satu suis flip.
Maksud aku asingkan muzik dan lirik lagu itu ialah
bila aku dengar lagu dan aku fokuskan pada muziknya,
lirik nyanyian lagu itu akan hilang menjadikan lagu itu seperti minus one.
Dan bila masa yang aku mahu,
aku boleh terbaliknya, hilangkan muzik dan hanya lirik nyanyian sahaja didengari.
Kedengaran seperti seorang sedang baca puisi secara tidak normal.

See.
Sebab itu aku kata tak masuk akal.
Kalau lapan orang yang baca entri ini, mesti kelapan-lapan orang itu tidak percaya.
Mesti ada yang tuduh aku reka cerita.
Mesti ada yang kata aku tokok tambah fakta.
Mesti ada yang cakap aku sudah tak ada idea.

Dude. I don't believe myself, either.

Tapi aku orang yang sentiasa mahukan penjelasan.
Hipotesis paling masuk akal boleh aku fikirkan tentang dua fenomena ini ialah:

1) Pada demam pertama itu, kerabunan mata aku boleh hilang mungkin kerana peningkatan tekanan di salur darah sekitar mata yang membuatkan mata berubah bentuk (buat sementara) dan menghilangkan rabun. Rabun kan disebabkan oleh bola mata yang berubah bentuk normal dan membuatkan titik temu objek jatuh di kawasan yang salah. Jadi bila bola mata aku berubah sekali lagi disebabkan tekanan dari salur darah sekitarnya (yang disebabkan oleh demam), maka tidak mustahil rabun aku hilang, walaupun buat sementara.

2) Pada demam kedua (sekarang, sedang demam), kebolehan asingkan irama muzik dengan nyanyian lirik dari lagu di radio adalah disebabkan...hmmm...sekali lagi...halusinasi. Halusinasi ada pelbagai jenis, salah satu jenisnya ialah audio. Kita dengar sesuatu yang orang normal lain tidak dengar. Dalam kes aku, aku dengar lagi itu seperti hilang muzik atau hilang lirik tapi sebenarnya lagu itu normal dimainkan seperti biasa.


PENUTUP.

Look.
Don't believe me.
Semua kekonon fakta sains yang aku sebut di atas adalah sekadar andaian aku yang tidak ada pembuktian dan sokongan teori tentang kesahihan faktanya.
Kalau kalian pernah belajar sains kalian akan tahu, andaian tanpa pembuktian hanyalah kata-kata kosong.
Jadi tolong jangan quote aku dalam mana-mana.

Aku tahu dari awal lagi,
dunia yang aku pandang tak sama dengan dunia yang orang lain pandang.
Sebab itu,
dalam perjalanan hidup aku sampai ke titik ini,
aku sudah hilang berapa ramai kawan hanya sebab cara pandangan kami berbeza.
Ia sakit pada mulanya,
tapi makin lama,
aku sedar bahawa tiada cara untuk aku masuk dalam fikiran orang lain dan lihat melalui kaca mata dia dan setuju dengan apa yang dia pandang.
I'm stuck with this body.
Sakit, demam, mata rabun, mata buta, semuanya aku kena hadap kerana aku tiada pilihan.

Jadi tak apalah.
Jika ada individu yang tidak setuju dengan pandangan kalian, teruskan.
Teruskan mara ke hadapan.
Kerana kita tiada pilihan selain maju ke hadapan.




InsyaAllah minggu depan ada komik.
Doakan aku sembuh demam segera.
Dah masuk hari keenam dah ni.




.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN: